Monday, November 17, 2008

Cabaran wanita zaman ini

CABARAN WANITA ZAMAN INI






Pada hakikatnya wanita adalah seorang pengurus rumah tangga. Tetapi profesionalkah mereka? Tugas pengurus rumah tangga tidak pernah habis dari pagi sampai malam. Tanggungjawab mereka berat dan penuh cabaran. Justeru, kerja rumah tangga perlu diurus secara profesional dan teratur. Seorang wanita berkeluarga tidak boleh lari daripada menjadi pengurus rumah tangga walaupun dia seorang yang berkerjaya atau seorang yang professional dalam bidangnya. Sebagai seorang pengurus rumah tangga mempunyai tanggungjawab berat sebagai seorang isteri, ibu (jika mempunyai anak), pengurus rumah tangga dan keluarga. Justeru, untuk menunaikan pelbagai tanggungjawab ini dengan berkesan, seorang wanita perlukan pelbagai kemahiran dan kecekapan. Mereka juga perlukan sokongan moral suami dan lebih daripada itu, pengorbanan, kerana ia bukan kerja mudah untuk seorang wanita bergelar isteri.



Sebagai seorang pengurus rumahtangga, harus pandai merancang dengan sebaik mungkin. Contohnya, merancang masa, mengatur kegiatan harian, mengawal kewangan, mengatur kebajikan serta keperluan suami dan anak-anak.Sediakan masa setiap hari, misalnya 15 minit selepas solat Subuh untuk merancang kegiatan harian.Tetapkan juga satu hari dalam sebulan, contohnya, setiap hari minggu terakhir, untuk merancang kegiatan keluarga, senarai barang keperluan dapur dan rumah serta senarai bil untuk dibayar. Kita juga perlu melakukan perancangan tahunan. Sebaik-baiknya berbincanglah dengan suami, misalnya, perancangan akademik anak-anak dan jadual peperiksaan, masa untuk balik kampung, atau melancong. Perancangan sangat penting kerana sumber kita sentiasa terhad. Kepentingan perancangan dapat dilihat dalam firman Allah, yang bermaksud:



“Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok(akhirat).” (Surah al-Hasyr: 18).



Proses perancangan dan pengurusan rumah tangga ialah merancang keluarga dari segi merancang masa sesuai untuk hamil dan melahirkan anak. Jika kita tidak merancang dengan teratur, sebenarnya kita merancang untuk gagal. Seelok-eloknya, berbincanglah suami isteri mengenai batas kemampuan masing-masing untuk memastikan pengurusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak lebih teratur dan sempurna. Jika isteri suri rumah sepenuh masa, tanggungjawabnya sebagai pengurus dan pendidik di rumah adalah paling sesuai dan sempurna. Tugas isteri tidak semestinya dibebankan dengan kelahiran anak setiap tahun. Suami patut prihatin dengan kemampuan isteri mengurus rumah dan anak-anak, sama ada isteri adalah seorang yang cekap dan berkesan mengurus, atau sebaliknya. Bantulah isteri memilih kaedah merancang keluarga yang sesuai. Kita perlu ingat bahawa pendidikan anak bukan setakat memenuhi keperluan fizikal iaitu makan dan pakai sahaja, malah keperluan emosi, mental dan rohaniah.


Dalam menangani urusan keluarga, kita perlu mengambil tahu keperluan diri sendiri dan pengurusan diri yang teratur. Berapa ramaikah di antara kita yang mengurus keluarga dengan baik dan sempurna, namun lupa akan untuk menjaga diri sendiri? Jagalah masa makan, rehat tidur yang cukup supaya dapat melaksanakan tugas harian. Makanlah makanan berkhasiat supaya dapat mengimbang kesihatan . Minum air secukupnya. Sebaik-baiknya sediakan masa untuk beriadah, misalnya pergi ke kelas aerobik atau berjoging tiga kali seminggu. Selain membantu menghalang kegemukan dan meningkatkan kecergasan, ia juga melambatkan proses pereputan tulang atau ‘osteoporosis’. Sediakan masa untuk diri kita. Uruskan supaya hal rumah tangga dan anak-anak tidak menjadi penghalang. Kesihatan dan kecergasan diri akan meningkatkan keyakinan diri dan membolehkan kita melaksanakan urusan rumah tangga dan melayan suami dengan lebih berkesan. Sekiranya kita sentiasa letih, kita akan mudah marah dan merungut, serta tidak tenang menghadapi karenah suami dan anak-anak. Jagalah kesihatan kulit, muka dan rambut serta kekemasan dan penampilan diri supaya sedap mata suami memandang dan menjadi contoh kepada anak-anak.


Dalam kegiatan harian, utamakan solat apabila tiba waktu. Tinggalkan apa juga kerja yang sedang dibuat. Biasanya, kita akan menetapkan solat selepas habis membasuh pinggan, cuci kain dan sebagainya. Namun, selalunya ada saja kerja baru timbul dan akhirnya kerja kita tidak beroleh keberkatan Allah, dan urusan rumah tangga pun tidak berjalan lancar. Rancang kerja supaya waktu rehat ada. Gunakan waktu solat untuk berehat dengan mengerjakan solat yang khusyuk dan diikuti membaca al Quran dengan tenang. Sediakan peralatan rumah tangga yang mampu kita miliki. Misalnya, mesin basuh automatik, ketuhar gelombang mikro dan pembantu rumah. Kesemua ini penting supaya kita boleh menumpukan lebih perhatian kepada kerja pengurusan dan pembinaan keluarga daripada perkara teknikal. Berusahalah mengumpul duit untuk menyediakan kemudahan itu kerana ia membantu keberkesanan pengurusan rumah tangga untuk tempoh panjang. Ia lebih baik daripada menghabiskan duit membeli barang kemas atau pakaian mahal. Sediakan juga masa untuk pengisian minda dan kegiatan sosial bermanfaat yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri. Jangan kita membiarkan diri kita hanyut dalam arus sembang kosong atau mengumpat bersama jiran di tepi pagar. Pengisian minda dapat membantu kita mengurangkan tekanan perasaan apabila berselisih faham dengan suami atau kecewa dengan kerenah anak. Misalnya, aktiviti perbincangan sesuatu isu seperti pendidikan anak remaja atau kemahiran teknologi maklumat serta komunikasi. Sesi ini boleh diadakan bersama majlis minum petang dengan jiran. Kita boleh menjemput seseorang yang pakar dalam isu itu di kalangan jiran atau kawan lain. Kegiatan membina begini boleh dikembang dengan membabitkan anak remaja sebagai kegiatan pembinaan remaja. Ini supaya remaja tidak hanyut dengan perbuatan sia-sia. Firman Allah bermaksud:


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (Surah ar Ra’ad : 11).


Jika setiap daripada kita menjadi pengurus rumah tangga dan keluarga berkesan, insya Allah setiap institusi keluarga terbina dengan kukuh di atas landasan as-Sunnah dan al-Quran. Setiap ahli keluarga akan menjadi ahli masyarakat berkesan mahu di dunai dan akhirat. Akhirnya, akan terbentuk umat cemerlang, gemilang dan terbilang.

Budaya Dan Kebudayaan Islam

Budaya Dan Kebudayaan Islam


Budaya (buddhayah) yang berasal dari perkataan sanskrit yang merupakan ayat yang dijamak dari perkataan “Buddhi” (budi dan akal), yang mana bererti sesuatu yang bersangkut-paut dengan budi dan akal seseorang atau sekelompok masyarakat.
Manakala didalam bahasa Inggris, yang mana perkataan budaya disebut “Culture”, yang berasal dari perkataan Latin “Colo-era”dan banyak penafsiran tentangnya, tetapi terjemahannya adalah mengolah atau mengerjakan sesuatu, misalnya sesuatu yang berkaitan dengan bercucuk-tanam disebut “Argi-culture”. Sedangkan didalam bahasa Arab, budaya disebut “Tsaqaafa”, iaitu sesuatu yang ada berkaitan dengan tata-tertib atau peradaban hidup.
Jadi dalam konteks budaya ini, adalah sesuatu yang lahir dari kehidupan atau kegiatan manusia, sama ada dari individual, sekelompok masyarakat mahupun serata benua hinggakan keserata dunia (globalisasi), yang mana dari situ, tertampilnya rentak atau cara kehidupan seharian, cara pemikiran, perlakuan dan seterusnya. Budaya boleh juga dikatakan hadir dari permintaan-permintaan kepada hajat atau keperluaan kehidupan seseorang atau sekelompok masyarakat.
Antara unsur-unsur budaya adalah seperti kemudahan untuk kehidupan seharian (peralatan, kenderaan dll), hasil pendapatan untuk menampung kehidupan (berburu, berniaga dll), kekeluargaan atau organasasi sosial (bermasyrakat, berkumpulan dll), tutur bahasa samaada dari bahasa ibunda atau bahasa asing yang digunakan, kepercayaan atau pengamalan dari agama yang dianuti, kesenian-kesenian dari cita-rasa seseorang atau sekelompok masyarakat, struktur pengolahan masyarakat (politik, ketenteraan dll), tradisi-tradisi atau adat-adat yang diwarisi dan seterusnya.
Didalam Islam, adanya pengertian mahupun penafsiran yang mendalam bila-mana kita memperkatakan kebudayaan Islam. Kebudayaan Islam adalah lahir dari Al Quran dan sunnah-sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Adalah suatu kesilapan besar kalau kita memberitahu Al Quran adalah hasil budaya, sebaliknya Al Quranlah yang menghasilkan suatu kebudayaan yang tinggi moral serta peradaban untuk manusia keseluruhannya.
Al Quran adalah pedoman bagaimana manusia harus melalui kehidupannya, manakala sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. adalah cara praktik manusia untuk menghidupkan pedoman Al Quran kedalam kehidupan atau kegiatan harian manusia. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan suatu cara hidup yang lengkap, segala adab-adab untuk dicontohi dari cara makan-minumnya, berpakaian, berakhlak mulia, berniaga hatta ketandas dan cara-cara menyucikan diri (berinstinjak) dan seterusnya. Segala yang dipertunjukkan oleh Rasulullah s.a.w samaada dari tingkah-lakunya atau perkataannya adalah suatu contoh untuk kehidupan atau kegiatan seseorang atau sekelompok masyarakat bila-mana mereka memperkatakan apa itu kebudayaan Islam.
Tiada pernah sesiapa pun didalam dunia ini, walau macam-mana pun terkenalnya, kehidupan 24 jam sehariannya dirakamkan kecuali Rasulullah s.a.w. kerana beliau telah terpilih untuk menjadi contoh, yang mana akan membimbing manusia kearah hidup yang beradab dalam konteks pengertian peradaban manusia didalam Islam dan seterusnya menjadi hamba yang diredhai Tuhannya. Jadi tiada perkataan yang menyebut, budaya Islam harus disesuaikan dengan zaman, tetapi zamanlah yang patut disesuaikan dengan budaya Islam.

Unit Ukhuwah

Pusat Dakwah Islamiah
Negeri Sembilan Darul Khusus
Sebarang urusan dialamatkan kepada :

Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan,
Paroi, 70450 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus

Bahagian Pentadbiran 06-6751605
Unit Ukis 06-6751609
Unit Ukhuwah 06-6751610
Unit Keurusetiaan 06-6751605
Fax 06-6789763